Dari Anas radiyallahu ‘anh katanya: Aku dengar Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Allah telah berfirman: Hai Anak Adam! Sesungguhnya engkau, selama engkau berdoa dan berharap kepadaKu, Aku ampuni bagi engkau di atas dosa yang ada pada engkau dan Aku tiada peduli. Hai Anak Adam! Kalau telah sampai sekelian dosa engkau ke awan langit kemudian itu engkau memohon keampunan Ku, nescaya Aku ampuni bagi engkau. Hai Anak Adam! Sesungguhnya kalau engkau datang kepada Ku dengan kesalahan-kesalahan sepenuh bumi (ini) kemudian itu engkau menemui Aku pada hal tiada engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku berikan kepada engkau keampunan dengan sepenuh bumi. “ Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan ia berkata: Hadith ini hasan lagi sahih.
Petunjuk Hadith:
- Menunjukkan bahawa Allah memberi kesempatan yang seluas-luasnya kepada manusia untuk mendapat keampunanNya. Maka terserahlah kepadanya untuk menggunakan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya demi kebahagian hidupnya yang abadi. Juga menunjukkan bahawa dosa yang walaubagaimana pun banyaknya, tidaklah menjadi rintangan mendapat keampunan; asal seorang itu benar-benar insaf dan menyedari kesalahannya dan bersedia untuk membersihkannya dengan bertaubat dengan cara yang sesungguhnya.
- Menunjukkan bahawa dari kesimpulan hadith tersebut dapat ditetapkan, iaitu untuk memperolehi keampunan Allah memerlukan tiga syarat :
- Doa serta harapan,
- Istighfar atau memohon keampunan,
- Tauhid pada i’tiqad atau kepercayaan. Dan tauhid inilah syarat yang lebih utama dan penting dari yang lainnya. Kerana ketiadaannya tidaklah ada keampunan sama sekali.

No comments:
Post a Comment