LAGU hari raya telah berkumandang di sana sini
begitu menusuk kalbu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Tiket bas ke beberapa destinasi telah habis dijual dan ada juga yang
termenung panjang kerana tidak dapat tiket pulang ke kampung halaman
masing-masing.
Di alam maya pula masing-masing sibuk telah mula meletakkan status
selamat Hari Raya Aidilfitri ke Facebook dan Twitter penuh dengan
pelbagai cerita hari raya.
Zaman dahulu anak-anak muda membuat sendiri meriam buluh karbaid dan
sibuk menebang pokok-pokok buluh terpilih di hutan belantara. Penghujung
Ramadan kita boleh mendengar hampir setiap malam acara memasang meriam
buluh karbaid. Namun jarang kita mendengar ramai yang cedera. Itu kisah
dahulu tetapi sekarang hampir setiap minggu surat khabar memaparkan
kejadian kehilangan jari akibat bermain mercun.
Kisah bongkah air batu yang dibeli di bandar diliputi dengan habuk
papan dan disimpan dalam tanah sebelum dijual kepada penduduk kampung
telah agak asing untuk kita dengar pada hari ini. Dahulu bukan senang
untuk mendapatkan air batu kerana ramai orang kampung waktu itu tidak
mampu memiliki peti ais.
Pelbagai kisah perbandingan sambutan hari raya dahulu dan sekarang.
Tetapi paksinya tetap sama iaitu kita menjalinkan silaturahim di hari
raya ini dengan budaya kunjung mengunjung. Inilah di antara cerita yang
mewarnai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan pelbagai
ragam dan cara yang tersendiri.
Apa yang pasti Ramadan pada kali ini banyak meninggalkan pelbagai
cerita dan kejadian yang mungkin akan dikongsi bersama dengan keluarga
atau rakan-rakan apabila pulang berhari raya.
Warga kota telah mula meninggalkan kota raya Kuala Lumpur, lubuk
untuk mencari rezeki. Pada tahun ini mungkin ada yang akan membawa
pulang kereta baru atau mungkin yang mempunyai rezeki yang lebih akan
membawa pulang kereta-kereta mewah.
Alhamdulillah pada ketika ini, kita dapat meraikan Aidilfitri dengan
suasana meriah. Namun kita tidak pasti selepas ini sama ada Aidilfitri
pada masa akan datang kita akan bergembira atau menangis.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN....
No comments:
Post a Comment